Followers

Monday, March 26, 2012

beliau doktor idaman kita ;)



Dr. Ali Shahwani merupakan doktor professor Perbidanan dan Sakit Puan di Universiti Ain Shams, Kaherah. Beliau lulus sarjana muda perubatan dari universiti yang sama pada pertengahan tahun 70-an. Ketika itu umurnya menghampiri 40 tahun. Semua ini kerana beliau dipenjarakan selama 17 tahun ketika zaman Jamal Abdul Nasir.

Dapatkah kita bayangkan betapa tsabat (tetap) dan sabarnya Dr. Ali ketika di penjara? Dipenjarakan selama 17 tahun yang mengorbankan zaman remajanya yang sangat berharga. Dan ketika beliau dibebaskan, kebanyakan rakan-rakan sepengajian dengannya sudah pun menjadi doktor pakar.Namun, beliau adalah salah seorang daripada tahanan yang mampu mengkhatamkan Al-Quran dalam satu malam.Sangat sedikit yang mampu berbuat sedemikian.
Beliau juga sangat cemerlang dalam pelajaran, sama ada sebelum atau selepas dipenjarakan sehinggalah beliau menjadi profesor di Universiti Ain Shams.Beliau dipenjarakan pada tahun 1954 yang mana ketika itu beliau di tahun akhir pengajian.

Dr. Mahmoud Ezzat sempat bertemu beliau ketika di penjara. Ketika itu Dr. Ali Shahwani sudah sepuluh tahun dipenjarakan.Beliau seorang yang sangat warak. Halal dan haram dijaga dengan teliti.

Satu kisah diceritakan oleh Dr. Mahmoud Ezzat selepas dibebaskan. Ketika beliau di tahun empat pengajian, beliau datang berjumpa Dr. Ali Shahwani untuk bertanyakan pelajaran yang tidak difahaminya. Ketika itu Dr. Ali sedang menjalankan round di wad kecemasan Sakit Puan Dan Perbidanan. Wad itu sangat panas dan tidak selesa.


“Marilah kita keluar dari tempat ini. Apabila kes sampai, kita masuklah kembali,” ajak Dr. Mahmoud Ezzat.
“Tidak. Tempat aku di sini. Wad kecemasan menuntut aku untuk sentiasa berada di sini.” Jawab Dr. Ali Shahwani.
“Tapi keadaan di luar lebih elok.”
“Jika kau mahu, marilah datang ke rumahku selepas aku selesai round”
“Duit yang kau ambil sangat sedikit berbanding usaha yang kau berikan,” kata Dr. Mahmoud apabila melihat usaha tinggi Dr. Ali terhadap kerjanya.
“Ini ialah janji aku dengan kerajaan,” jawab Dr. Ali “dan aku akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan cara ini. Aku tidak akan memungkiri janjiku.”


Kisah ini seolah-olah kisah Saidina Umar Al-Khattab yang tidak mahu berbicara soal-soal peribadi menggunakan lampu pelita kerajaan. Bezanya, kisah ini berlaku pada zaman kita.Kisah dan prinsip beliau menjadikan beliau berbeza dari doktor-doktor lain.

Antaranya:

  1. Doktor yang setaraf dengannya biasanya mengambil LE200-300 untuk sekali pemeriksaan. Namun Dr. Ali hanya mengambil LE20 sebagai upah.
  2. Doktor-doktor lain yang setaraf dengannya biasanya mengambil upah sebelum ibu-ibu keluar dari bilik persalinan lagi. Namun Dr. Ali hanya mengambil upah seminggu kemudian ketika ibu-ibu datang untuk membuka jahitan pembedahan.
  3. Lebih menakjubkan, jika beliau tidak mengenali latar belakang pesakit itu, beliau hanya katakan, “Bayarlah sekadar kamu mahu.”. Apabila ditanya tentang tindakannya, beliau menjawab, “Aku tidak mengetahui situasi pesakit tersebut. Mengapa perlu dia menjual segala kepunyaannya untuk membayarku sedangkan aku lebih berada daripadanya?”Beliau tidak membeza-bezakan antara pesakitnya. Semuanya dilayan serupa. Sama ada Muslim atau pun Kristian.
  4. Diceritakan salah seorang pelajar Dr. Ali memintanya surat cuti untuk kakak iparnya untuk dia menangguhkan peperiksaan. Apabila mengetahui kakak ipar pelajarnya itu keluar bercuti ke negara Arab, beliau meminta kembali surat cuti tersebut dan berkata, “Padaku gagal dalam peperiksaan itu lebih baik dari menipu walaupun sekali,” sambil membacakan ayat:
“Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.”
Surah Al-Balad: 16-17


Dr. Mahmoud Ezzat juga menceritakan, selepas kematian Dr. Ali Shahwani pada 18 November 2009 anak-anak Dr. Ali meminta untuk menyambung kerja-kerja di klinik agar tidak ditutup. Lalu Dr. Mahmoud pun mencari orang untuk menggantikan tempat Dr. Ali. Akhirnya, beliau sedar tiada seorang pun yang mampu menggantikan tempat tersebut. Tiga atau empat orang doktor juga tidak mampu menggantikan Dr. Ali Shahwani, kerana beliau ialah seorang lelaki dengan kekuatan seribu umat.

-Adam Zainuddin, Tahun 6, Kuliah Perubatan, Universiti Kaherah

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...