Sesungguhnya ada beberapa amalan yang dapat menyelamatkan manusia daripada bahaya api neraka. Bagi mengetahui apakah amalan itu, ikuti sebuah hadis panjang yang menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w. melihat malapetaka yang menimpa umatnya di akhirat, tetapi telah diselamatkan oleh berbagai-bagai amalan yang ikhlas yang dilakukannya semasa di dunia.
Sebuah hadis yang dikeluarkan oleh at-Tirmidzi daripada al-Hakim, daripada Abdullah bin Umar, daripada Nafie’, daripada Ibnu Abi Hudaie’, daripada Abdul Rahman bin Abdillah, daripada Said bin Musayyab, daripada Abdul Rahman bin Samurah katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Semalam aku melihat perkara yang menakjubkan. Aku melihat seorang lelaki daripada kalangan umatku didatangi oleh malaikat Maut, maka datanglah amalan baik lelaki itu, iaitu amalan kerana menjaga kedua ibu bapanya. Amalan itu datang dan berjumpa dengan malaikat Maut lalu menghalang malaikat Maut daripada mengambil nyawa lelaki itu. (Dengan amalan itu bermakna bertambah panjang umur lelaki itu).
Begitu juga aku melihat seorang lelaki daripada kalangan umatku yang sedang berhadapan dengan azab kubur, tiba-tiba datang amalan wudhu’ orang itu yang cukup sempurna lalu menangkis azab kubur itu, sehingga lelaki itu terlepas daripada azab kubur yang sudah bersedia mengazabnya.
Begitu juga aku melihat seorang lelaki daripada kalangan umatku yang dikelilingi syaitan yang akan menyesatkannya. Ketika itu datang amalan zikrullah orang itu dan menghambat syaitan-syaitan itu. Maka orang itu terlepas daripada perbuatan syaitan yang akan menyesatkannya.
Aku juga melihat umatku sedang dikelilingi oleh malaikat Azab yang sudah bersiap sedia hendak mengazab orang itu, maka datanglah amalan solat (solat fardhu dan sunat) orang itu lalu melepaskannya daripada azab itu.
Selain itu aku juga melihat umatku sedang dalam keadaan terlalu dahaga, setiap kali dia pergi kepada kolam-kolam air, ada orang yang menghalaunya. Pada ketika itu datanglah amalan puasa orang itu dengan membawakan air kepadanya, maka minumlah dia sehingga hilanglah dahaganya.
Aku juga melihat kumpulan umatku sebagaimana nabi-nabi yang lain duduk berkumpul-kumpul. Tetapi di kalangan orang ramai itu terdapat seorang daripada umatku, yang setiap kali dia cuba menghampiri kumpulan-kumpulan itu dia akan dihalau. Kemudian datang amalan orang itu yang berupa amalan mandi janabah, lalu amalan itu mengangkat orang berkenaan dan meletakkannya dalam kumpulan manusia dan para nabi.
Begitu juga aku melihat umatku sedang dikelilingi oleh gelap-gelita menyebabkan dia kebingungan. Ketika itu datang amalan haji dan umrahnya lalu menariknya daripada keadaan gelap-gelita dan menghantarnya ke tempat yang terang benderang.
Begitu juga aku melihat seorang daripada kalangan umatku yang mahu bercakap dengan orang lain, malangnya orang-orang itu tidak mahu berkata-kata dengannya. Ketika itu datanglah amalan silaturrahim dan berkatalah ia ; ‘Wahai orang-orang mukmin semua, berkata-katalah (berbual-buallah) terhadap orang ini.’ Setelah itu maka berkata-katalah orang-orang mukmin itu kepada orang berkenaan.
Aku juga melihat seorang daripada umatku sedang ditimpa percikan api, ketika itu datanglah amalan sedekah lalu menjadi perisai kepada orang itu daripada bahaya semburan api itu.
Selain itu aku juga melihat seorang daripada umatku yang sedang diheret ke dalam api neraka. Pada ketika itu datanglah amalan amar makruf nahi mungkar bersama dengan malaikat Rahmat, lalu menyelamatkan orang berkenaan dari dalam kawah api neraka.
Aku melihat seorang daripada umatku yang berjalan merangkak bagi menemui Allah s.w.t, malangnya ada tembok yang memisahkan mereka dengan Tuhannya. Ketika itu datanglah amalan mereka berupa akhlak mulia, lantas memimpin tangan orang itu menuju ke hadrat Allah s.w.t.
Sesungguhnya aku juga melihat suratan amalan umatku yang dihulurkan kepadanya oleh malaikat dengan tangan kiri, ketika itu datanglah kepadanya amal ibadatnya yang disebabkan rasa gerun kepada Allah. Amal yang disebabkan rasa gerun kepada Allah itu menjadi penangkis kepada suratan yang bakal diterima melalui tangan kirinya, menyebabkan bertukarlah suratan amal itu menjadi suratan amal dari sebelah kanan.
Begitu juga aku melihat seorang daripada umatku yang timbangan amal kebajikan terlalu ringan sebaliknya timbangan amal yang jahat mengatasi timbangan yang baik. Ketika itu datanglah anak-anak orang itu yang mati ketika kecil, lalu timbangan amal kebajikan orang tuanya menjadi berat.
Aku juga melihat antara umatku yang sedang berdiri di tepi neraka jahanam dan hampir-hampir terjerumus ke dalamnya, maka ketika itu datanglah amal jahat yang tidak jadi dilakukannya semata-mata kerana gerun dan takut kepada Allah. Amalan itu menarik tangan tuannya hingga terselamatlah dia daripada api neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.
Aku juga melihat umatku yang sedang menjunam jatuh ke dalam neraka, tiba-tiba datang air matanya yang menitis semasa di dunia dahulu disebabkan oleh sesalan terhadap perbuatannya yang buruk, semata-mata kerana Allah. Lalu air mata sesalannya itu menyambarnya daripada terus terjatuh ke dalam kawah neraka, menyebabkan dia terkeluar daripada neraka itu.
Aku juga melihat di kalangan umatku yang berdiri di atas sirat dalam keadaan terketar-ketar kerana takut terjatuh ke dalam neraka, sebagaimana ketarnya orang yang sakit tenat. Tiba-tiba datang amalan hatinya iaitu perasaan ‘Husnu Dzan’ (sangka baik) terhadap Allah, maka husnu dzannya itu menyelamatkannya daripada terjatuh ke dalam nereka serta dapat meneruskan perjalanan melalui sirat itu dengan selamat menuju ke syurga.
Aku juga melihat di kalangan umatku yang sedang mengengsot dan merangkak di atas titian sirat, ketika itu datanglah amalan selawatnya kepada aku (Rasulullah s.a.w.) lalu dipegangnya tangan orang itu dan diangkatnya berdiri tegak. Maka selawat itu memimpinnya terus merentasi titian sirat itu dan selamat sampai ke syurga.
Akhirnya aku juga melihat di kalangan umatku yang telah sampai ke syurga, malangnya setiap pintu syurga yang hendak dilaluinya tertutup dan terkunci untuknya. Ketika itu datanglah syahadatnya yang menjadi pegangan akidahnya, maka terbukalah pintu syurga dan dapatlah umatku itu memasuki syurga dengan aman.”
No comments:
Post a Comment