Followers

Saturday, April 28, 2012

Air mata Pertemuan & Perpisahan.

B ila waktu telah berakhir, tiada lagi yang mampu menghalang, masanya dan saatnya pasti datang. Setiap saat dan detik yang berlalu, bagiku begitu berharga, didalam menghitung hari- hari terakhir, yang kian hampir dan menghimpit.

Wajah-wajah riang, dan bunga-bunga bahagia, kini kian hilang riangnya dan hilang bahagianya. 'Ya Tuhan,jika ini takdirMu, aku redha.. kerana ku tahu,dunia ini hanya tempat sementara, dan yang kekal hanyalah Alam akhirat...'

Keputusan ujian kesihatan yang dibuat doktor pada 5 bulan lepas, menggetarkan jiwaku.

“Saiful Azam, awak mengidap penyakit leukemia, dan sekarang ia ditahap kronik”..

Masih terngiang-ngiang di layar memori ku, tentang ungkapan itu.. Ungkapan yg menjadi titik pemula, pada perubahan seluruh kehidupan ku..

Dan lebih menghimpit keadaan, doktor memberitahu ibuku, yang aku hanya mampu hidup selama 6 bulan sahaja lagi. Hari demi hari berlalu, terlalu pantas buatku masa berjalan, dari tempoh itu, sekarang hanya tinggal sebulan.. Sebulan untukku menamatkan sisa hidupku.. Ya Allah,aku seolah-olah tidak percaya..

Di dalam usiaku menjangkau umur 23 tahun, aku terpaksa pergi meninggalkan semuanya, meninggalkan ibu dan ayah yang belum sempat ku berbakti kepadanya, meninggalkan keluargaku yg sudah 5 bulan berada didalam kesediahan, dan meninggalkan tunangku yg tempoh pertunangan dah menjangkau satu tahun..

Namun, apa yang menyukarkan, tunangku belum mengetahui tentang penyakit yg aku alami.

“A’isyah,maafkan saya kerana terpaksa merahsiakan semua ini” ,detik hati ini sayu.

Aku sengaja meminta keluargaku merahsiakannya daripada pengetahuan A’isyah, kerana khuwatir, masalah yang ku alami sedikit sebanyak akan menjejaskan pelajarannya. A’isyah masih lagi sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, didalam bidang Diploma Bahasa Arab.

Cukuplah aku yang merasakan beban ini, cukuplah aku yang menanggung pedihnya saat-saat ini A’isyah. Kilauan mutiara cincin pertunangan dijari manis, adalah juga mutiara air mata ku. Mutiara yang sentiasa menitis, tatkala ku bersujud kala dinihari.

Aku dan A’isyah jarang berhubung seandainya tiada hal penting. Kami lebih banyak gunakan orang tengah, supaya hubungan yang terjalin ini di redhai pencipta cinta yang Ilahi. Kerana kami sedar pertunangan bukanlah lesen, untuk kami buat apa sahaja.

Aku sering menghabiskan hari-hari terakhir ini, untuk mengadap kalam suci. Dan cuba mengkhatamnya seberapa banyak yang boleh. Agar aku pergi dengan tenang mengadap Rabbul Izzati..

Jauh disudut hati ada perasaan redha, kerana aku dapat tahu bila aku akan pergi, sedangkan ramainya orang yang pergi, tanpa dia ketahui bila dia akan pergi. 'Ya Allah, ku bersyukur padamu, ku yakin ini lah kasihMu.'

Disaat aku khusyuk membaca kalimah-kalimah suci sang pencipta Cinta, aku dikejutkan dengan bunyi deringan nada zikir telefon, dan sebagaimana ku duga pesanan itu adalah daripada pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul A’isyah, dia ialah A’isyah.

“Assaamualaikum akhi, maaf kerana menganggu ruang waktu akhi, ana cuma ingin meluahkan rasa kehairanan, apabila ana rasa kita makin jauh dan makin menjauh. Keluarga ana pun dah mula hairan. Kenapa akhi?? Ana ada wat salah kah??”

Mutiara air mataku berguguran lagi bila membaca pesanan ringkas luahan hati dari insan yang benar-benar mengasihi ku..

'A’isyah,maafkan saya A’isyah'. Detik hati kecilku.

Walaupun hati berat untuk membalas pesanan ringkas tersebut, aku kuatkan juga, kerana tidak mahu hati kecil insan tidak bersalah itu tersiksa..

“Waalaikumsalam A’isyah, maafkan ana kerana lama menyepi. ana cuma tidak mahu menggangu pembelajaran anti.. A’isyah, bolehkah ana mohon kita tangguhkan dulu perkahwinan kita? Ana mahu anti tamatkan pelajaran dulu”

Aku cuba memberi pelbagai alasan, bukan untuk berbohong, cuma aku tak mahu dia mengetahui hal yang sebenarnya. Seberapa ketika aku menerima lagi pesanan ringkas darinya

"Kalaulah itu permintaan dari akhi,ana menurut sahaja.Ana yakin,akhi pasti memikirkan yang terbaik untuk kita. Salam ketaatan dari insan yg menanti mu dari perantauan. Wassalam”..

Kadang-kadang, aku kagum sangat dengan A’isyah, dia sungguh kuat menerima apa jua keputusan ku..

“A’isyah,moga kau dapat mencapai impianmu menjadi seorang ustazah, sebagaimana yang kau idam-idamkan,aku tidak mampu bertahan lama didunia ini,melayari pahit manis kehidupan bersamamu A’isyah”detik hati kecilku.

Dan aku pasti, mengenangkan saat-saat indah. Saat cinta terbit, semasa ibuku menyarungkan cincin pertunangan, pada jari manismu. Waktu engkau dan aku mula di khitbahkan. Dan aku masih ingat, saat pertama perkenalan, semasa aku mengur mu, kerana melihat air matamu menitis, di suatu sudut sebuah kedai buku, kerana buku yang kau cari telah kehabisan stok, dan terpaksa menunggu sebulan, padahal kamu memerlukan buku itu secepat mungkin.

Aku tak sangka, perkenalan itu membawa kita kepada tahap ini.. Tahap dua hati di khitbahkan. Namun kali ini, aku akan membuatkan air matamu menitis lagi A’isyah. Aku tak sangka, sebuah pertemuan yang bermula dengan air mata, akan berakhir dengan air mata.

Aku dapat merasakan saat dan waktunya kian hampir, untukku meninggalkan segala apa yang ku sayangi, lebam-lebam pada tubuh ku semakin banyak, menandakan aku sudah tak mampu bertahan lama lagi.

'Ya Tuhan, kuatkan hati ku ya Allah, kuatkan lah jua hati - hati insan yang aku sayang, dalam menempuhi mehnah ujian mu ini. Buat mu A’isyah, bukan niatku untuk merahsiakan semua ini, satu hari, kau akan tahu, kenapa aku menjauhkan diri darimu, mengapa aku meminta menangguhkan perkahwinan kita..

Bukan kerna aku tak sudi,tapi kerana aku dah tak mampu. Aku tahu, pasti sungguh perit buatmu, tatkala menerima berita pemergiaanku.

Tapi aku yakin, kau insan kuat, 30 juzuk kalamullah yang kau hafal itu, sudah cukup membuatkan hati mu kuat menempuhi semua ini. Aku yakin a’isyah, aku yakin. Semoga Allah menemukan mu dengan insan yang lebih baik dariku, dan insan itu, akan membuatkan kau bahagia, Hingga akhir hayatmu. Kerana aku tak mampu betahan lama.

Kenanglah kata-kata ku, bahawa Cinta yang terbina tidak akan dan tidak pernah terkubur.. Aku rasa, aku sudah tidak mampu menulis diari - diari terakhirku, kerana aku dapat merasakan ini hari terakhirku didunia ini.

Disini aku sertakan juga cincin pertunangan kita, yang dulunya menjadi pengikat bahagia, namun ikatan itu kini lerai, kerana maut kian hampir untukku.

Pertemuan yang dimulakan dengan air mata, berakhir dengan air mata perpisahan.'

Diari Terakhir,
Saiful Azam..


********


“A’isyah sudahlah tu nak, mak tak sanggup lagi melihat kau menderita begini, sudahla tu nak, Tuhan lebih menyayangi Saiful. Setiap yang hidup pasti menemui mati” teguran ibu dari belakang mengejutkan aku yang tengah sedih menatap diari terakhir Saiful Azam.

Aku mengesat mutiara-mutiara yang beguguran dipipi, cincin pertunangan adalah kenangan - kenangan tersisa antaraku dengan Saiful Azam. Aku memeluk erat ibuku.

“Mak, kenapa semua ini berlaku pada Saiful mak? Kenapa a’isyah tak tahu tentang semua ini mak? Kenapa dia merahsiakan semua ini dari pengetahuan syah mak? Kenapa mak? Kenapa tidak kami menanggung kesusahan ini bersama-sama mak? Kenapa mak?”tangisan ku meluahkan tentang apa yang hati aku rontakan.

Pemergiaan Saiful Azam pada 3 hari yang lepas, masih benar-benar mengejutkan aku. Buat masa terdekat ini, aku tak mampu lagi mengahadiri kuliah kerana masih terkejut dengan apa yang berlaku.

Tiap - tiap pagi aku menziarahi pusara arwah, yang masih merah, “semoga Allah menempatkan mu dikalangan orang bertakwa saiful azam”, bisik hati kecil ku,sambil mutiara air mata membasahi pipi.

Hari - hari ku dihabiskan untuk membantu keluarga saiful azam mengadakan majlis tahlil buat arwah. Setiap kali selesai solat, aku membaca kalammullah untuk disedekahkan kepada arwah. Semoga arwah aman disana..

'Ya Allah, aku redha dengan ketentuanMu, hidup ini mestilah diteruskan.. Saiful Azam, aku tak kan pernah melupakan mu, aku tak kan melupakan kenangan - kenangan indah masa bersama. Sebentuk cincin ini, adalah sebuah bukti, sebuah saksi, yang dulu aku pernah mengenali seorang insan yang benar - benar menyayangi ku dan mencintaiku, bernama SAIFUL AZAM…'



Tatkala ku tersenyum melalui kehidupan mahasiswa,
Kau menanggung derita menghadapi hari terakhir hidup di dunia,
Disaat aku menanti hari dan detik bahagia,
Kau sedih menungu hari sebuah perpisahan dengan semua..

Sebuah pertemuan yang bemula dengan air mata,
Kini berakhir dengan perpisahan buat selamanya,
Tuhan lebih mengetahui segalanya.,
Disebalik mehnah dan ujian yang diterima..

Saiful Azam,
Kenangan ini tidak pernah pergi,
Kasih ini tidak pernah berlalu,
Jiwa ini tidak pernah melupai,
Aku bahagia dalam mengenalmu,
Walaupun hanya buat sedetik waktu.

Saiful Azam,
Semoga kau aman disana,
Tuhan lebih menyayangi dirimu,
Kau pergi disaat ku memerlukan mu.

Kau pergi disaat cinta dan kasih mula terbit,
Dan ku pasti ia tidak akan pernah terbenam.

Kerna…
Cinta yang terbina tidak akan dan tidak pernah terkubur.

( sajak a’isyah,buat allahyarham Saiful Azam)



- TAMAT, WALLAHUALAM -

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...